Sistem Pendidikan Terbaik Finland

13 Jul 2017
Mohamad Abdullah
74
0

Pendahuluan

Laporan dunia meletakkan Finland sebagai sistem pendidikan terbaik di dunia berdasarkan PISA dan TIMSS yang dijalankan setiap empat tahun sekali. Bila bercakap tentang Pendidikan, seluruh dunia bercakap tentang Finland, bahkan menurut Pasi Sahlberg (2013) ia satu “Fenomena Finland”  apabila ramai orang datang untuk memerhati dan mempelajari darinya. Kita merujuk Finland bukan semata-mata kerana kedudukannya terbaik dalam penilaian PISA dan TIMSS tetapi bagaimana Finland melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab.

Begitu juga dengan sistem pendidikan di Singapura dan Jepun, mereka mempunyai gaya tersendiri untuk mendidik para pelajar untuk rasa tanggungjawab sebagai contoh memperkenalkan polisi “budaya kebersihan” kepada setiap pelajar untuk membersihkan sendiri sekolah dan tidak menggajikan tukang sapu di kawasan sekolah dengan harapan budaya ini akan diterapkan di rumah masing-masing. Mereka dididik bahawa tiada siapa diupah untuk membasuh mahupun mencuci untuk mereka melainkan ia tanggungjawab diri sendiri untuk menjaga kebersihan.

Faktor-faktor kejayaan pendidikan di Finland

Dari sudut sistem pendidikan, beberapa perkara yang menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan Finland dan lain-lain negara yang terbaik dalam pedidikan yang boleh diperhatikan ialah:

  1. Kualiti Guru. Perkara yang pertama dan utama untuk melakukan reformasi pendidikan ialah perlu melahirkan guru berkualiti. Kualiti sistem persekolahan ditentukan oleh guru berkualiti (Barber & Mourshed, 2007). Kajian juga mendapati bahawa hubungan kualiti seorang guru dengan keputusan pelajar adalah signifikan dan positif (Hanushek, 2002) menunjukkan peri pentingnya hubungan antara kualiti guru terhadap pencapaian pelajar. Antara karaktor utama guru yang berkualiti ialah guru yang menguasai pengetahuan bidang dengan baik dan menguasai kemahiran pedagogi dengan baik (Wayne & Youngs, 2003) bagi memastikan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh guru dapat disalurkan dengan baik. Oleh yang demikian, Finland berjaya mengangkat profesionalisme keguruan ditahap yang tertinggi (Pasi Sahlberg, 2013) melalui guru yang berkualiti tinggi sehingga menghasilkan sistem pendidikan yang terbaik di dunia.
  2. Institusi Pendidikan/Universiti. Bila bercakap soal kualiti guru, ia berkait rapat dengan institusi keguruan yang bakal melahirkan guru. Di Finland, kelayakan menjadi guru di peringkat menengah memerlukan guru dari kelulusan sarjana dan ijazah untuk peringkat yang lebih rendah. Graduan pendidikan perlu belajar sekurang-kurangnya lima tahun dalam bidang akademik dengan mengikuti pengajian tentang pedagogi dan perkembangan manusia sebagai imbangan bersama, ia selaras dengan kajian Darling-Hammond (2000) bahawa hubungan antara guru berkualiti dengan penyampaian peengetahuan dan kompetensi lebih positif berbanding dengan menguasai pengetahuan subjek sahaja. Untuk memastikan graduan pendidikan yang berkualiti, institusi/fakulti hanya mempertimbangkan, a) kelayakan akademik guru yang tinggi dan ketat untuk ditempatkan di sekolah-sekolah b) lulusan akademik yang mahir dalam penyelidikan dan mampu mengintegrasikan pengetahuan akademik dan pedagogi kurikulum c) institusi latihan yang diakui dan melalui latihan yang ketat d) pengajian guru yang berasaskan praktikal dan institusi/universiti perlu mempunyai sekolah dibawah fakulti supaya pelajar pendidikan melalui klinikal dalam pengajiannya melalui pemerhatian dan penyelidikan (Pasi Sahlberg, 2013). Maka tidak pelik jika bidang kerjaya perguruan dianggap berprestij dan imbuhannya juga tinggi seperti mana beratnya tanggungjawab mereka.
  3. Nilai Kepercayaan. Sistem pendidikan sekolah membentuk budaya percaya (culture of trust) dan budaya percaya ini memerlukan kepada akauntabiliti intelek dan kepercayaan profesionalism yang mantap (Sahlberg 2007). Masyarakat tidak ada alasan untuk mempertikai guru yang profesional dan berkualiti sehingga masyarakat hanya meletak nilai kepercayaan yang tinggi kepada setiap tindakan dan perancangan guru kepada anak-anak mereka adalah yang terbaik. Finland berjuang hampir bertahun tahun untuk mencapai “Nilai Percaya” masyarakat kepada guru dan akhirnya ia berjaya bahkan negara kita boleh berbuat demikian.
  4. Autonomi. Andy Hargreaves and Dennis Shirley (2011) mendapati bahawa sistem pendidikan yang terbaik dunia seperti Alberta and Ontario, Canada, Singapore dan juga Finland memberikan keutamaan dalam pengajaran, dengan berpengang kepada konsep keutamaan kerjasama berbanding pengasingan dalam pengajaran, autonomi guru berbandig mengikut arahan autoriti, dan tanggungjawab profesionalisme berbanding akauntabiliti birokrasi yang menjalankan prosidur. Kondisi persekitaran yang menyokong guru untuk berkarya (mengajar) dengan bebas berserta persekitaran menyokong murid untuk meneroka mampu melahirkan pendidikan yang terbaik. Dengan kepakaran guru yang terlatih, ia satu pengiktirafan apabila guru diberi keyakinan (kepercayaan) untuk bebas berkarya dalam merancang dan melaksanakan yang terbaik untuk pelajarnya tanpa terikat dengan kawalan luar. Keadan ini memberi guru berasa gembira dengan kerjaya mereka (Pasi Sahlberg, 2013)
  5. Polisi dan dasar pendidikan dibentuk. Polisi pendidikan di Negara Finland ditentukan oleh pakar bukannya ahli politik ( Hilde Wagsas Afdal, 2013) dan reka bentuk yang diperkenalkan oleh pakar telah melalui kajian yang terperinci dengan hasil keputusan yang positif, isu-isu berbangkit yang perlu diselesaikan sebelum ia dilaksanakan. Pendidikan bukan satu makmal yang direncana tanpa dilihat kesan dan isu-isu berbangkit sedangkan “ubat” yang dihasilkan tidak terus disuntik kepada manusia melainkan telah melalui pemerhatian empirikal terhadap “tikus makmal” dalam tempoh yang lama terlebih dahulu yang kesanya akan menentukan penawar atau racun begitu juga pendidikan.
  6. Masyarakat. Ibu bapa dan masyarakat secara umum perlu mendorong persekitaran pendidikan menjadi baik dengan memberi kepercayaan kepada guru untuk mendidik. Guru pula membalas kepercayaan dengan memberi hasil didik yang terbaik kepada masyarakat. Seterusnya, apabila kualiti guru baik menjadikan ibu bapa tidak boleh pertikai (Sahlberg, P. 2007).

Penutup

Malaysia sedang merangka kearah membentuk sistem pendidikan yang terbaik, pelbagai langkah meningkatkan profesionalisme pendidikan telah sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui PPPM 2013 – 2025. Namun, bebanan perkeranian guru seperti kajian Norashid & Hamzah (2014) menunjukkan bahawa guru-guru menyatakan kerumitan yang mereka alami ialah beban tugas yang berat adalah tinggi, dengan kerja-kerja perkeranian ini akan mendatangkan keletihan kepada guru dan boleh mengurangkan masa mengajar guru di dalam kelas serta membuatkan fikiran guru tidak tenteram kerana masanya sentiasa terganggu wajar diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia menjejaskan motivasi guru dan merencatkan perancangan memartabatkan profesionalisme keguruan di negara kita bagi setanding dengan pencapaian pendidikan di negara maju lain.

*Artikel ini telah diterbitkan pertama kali dalam Akhbar Sinar Harian bercetak bertarikh Mac 2017.

 

Rujukan

  1. Barber, M., & Mourshed, M. 2007. How the world’s best-performing school systems comeout on top. Retrieved from http://mckinseyonsociety.com/downloads/reports/Education/Worlds_School_Systems_Final.pd
  2. Darling-Hammond, L., & Youngs, P. 2002. Defining ‘Highly Qualified Teachers’: What Does ‘Scientifically-Based Research’ Actually Tell Us?. Educational Researcher, 31, 13–25.
  3. Hanushek, E. 2002. Teacher Quality. In L. Izumi & W. Evers (Eds.), Teacher Quality. Palo Alto, CA: Hoover Institution. 1-12.
  4. Hargreaves, A., & Shirley, D. 2011. The Global Fourth Way: The Quest For Educational Excellence. Thousand Oaks, CA: Corwin Press.
  5. Hilde Wagsas Afdal. 2013. Policy Making Processes With Respect To Teacher Education In Finland And Norway. High Education. 65:167–180.
  6. Norashid Bin Othman & Hamzah Bin Md.Omar, (2014), Beban Tugas Dan Motivasi Pengajaran Guru Di Sekolah Menengah Daerah Ranau. Jurnal Pemikir Pendidikan Vol. 5, pp. 35-57.
  7. Olli-Pekka Malinen, Pertti Va Isanen and Hannu Savolainen. 2012. Teacher Education In Finland: A Review Of A National Effort For Preparing Teachers For The Future. The Curriculum Journal. Vol. 23, No. 4, 567–584.
  8. Pasi Sahlberg. 2013. Teachers as a Leaders in Finland. Educational Leadership. ASCD.
  9. Sahlberg, P. 2007. Education policies for raising student learning: The Finnish approach. Journal of Educational Policy. 22, 2: 147–71.
  10. Wayne, A. J., & Youngs, P. 2003. Teacher Characteristics And Student Achievement Gains: A Review. Review of Educational Research, 73, 89–122.
  11. https://www.theonlinecitizen.com/2016/12/12/students-to-cultivate-cleaning-habits-at-school-starting-jan-2017/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *