PKP: Pembelajaran Maya Lakar Landskap Baru Pendidikan Negara

Pengenalan

Pada tanggal 16 Mac 2020, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan secara langsung di kaca TV berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas seluruh rakyat Malaysia bagi menangani wabak COVID-19 yang berlangsung bermula 18 sehingga 31 Mac 2020​1​.​1​ Kemudiannya pada 25 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah sekali lagi mengumumkan tarikh lanjutan PKP bermula 1 sehingga 14 April 2020.​2​

Sehubungan dengan tindakan kerajaan mengumumkan PKP, kesemua aktiviti fizikal dan perhimpunan sosial dilarang sama sekali dan mengarahkan rakyat bekerja dari rumah bagi semua institusi melainkan sektor yang diperincikan oleh pihak kerajaan. Dalam mematuhi arahan ini, turut terkesan ialah institusi pendidikan termasuk semua sekolah perlu ditutup. Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN) turut terlibat secara langsung dengan arena pendidikan, khasnya kepada golongan asnaf dan miskin. Melalui aktiviti Tuisyen Kasih, INSAN telah memasuki fasa tahun kedua dalam usaha menyediakan perkhidmatan pendidikan secara percuma. Oleh yang demikian, artikel ini ditulis untuk melihat pelaksanaan pendidikan dalam tempoh berlangsungnya arahan PKP ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan media telah menyatakan penggunaan kaedah pembelajaran secara maya kepada guru, pelajar dan ibu bapa melalui platform yang pelbagai sama ada platform yang disediakan oleh KPM seperti Google Classroom, Eduweb TV dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan.​3​ Oleh itu, terlebih dahulu perlu difahami kepentingan dan kesedaran berkaitan dengan penggunaan kaedah Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) dalam pengajaran dan pembelajaran.

Persekitaran VLE dalam pengajaran dan pembelajaran

Menurut kajian Mohammad Azmi (2013) mendapati guru yang mengikuti latihan berkaitan penggunaan Frog VLE mampu memotivasikan diri dan memberi inspirasi kepada guru-guru tentang perlunya kaedah pengajaran baru dan membantu memberi kemahiran kepada guru-guru cara menggunakan Frog VLE dengan berkesan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Sesungguhnya VLE amat baik dan lengkap dalam  menjana proses pembelajaran yang diyakini mampu meningkatkan kemahiran pembelajaran abad ke-21 dalam kalangan pelajar.​4​ Maka sangat wajar dan relevan guru dan murid terdedah dengan penggunaan VLE untuk pengajaran dan pembelajaran kelas. Melalui kaedah VLE ini, banyak kemudahan dan manfaatnya yang akan diperolehi oleh para pelajar untuk memudahkan lagi proses pembelajaran bersama memandangkan hari ini kebanyakan pelajar sememangnya terdedah dengan penggunaan gajet seperti telefon pintar yang mempunyai capaian Internet. Dengan kemudahan tersebut menjadikan VLE lebih senang dicapai oleh semua pihak guru, pelajar, ibu bapa dan rakan-rakan lain.

Selain itu, menurut Mohd Aizuddin (2013) dalam kajian beliau tentang peningkatan profesionalisme guru dalam penggunaan Frog VLE mendapati, guru yang menguasai penggunaan Frog VLE akan lebih mudah dalam mengendalikan aktiviti Pengajaran dan Pemudahcaraan (PDPc). Maklumat atau isi kandungan pelajaran dapat disampaikan kepada pelajar dengan cepat dan lebih sistematik. Ini secara tidak langsung meningkatkan profesionalisme seseorang guru. Namun faktor seperti kurangnya kemudahan di sekolah seperti tiada bilik akses komputer, ditambah pula dengan capaian Internet yang tidak stabil sedikit sebanyak mematahkan semangat guru untuk mengaplikasi aplikasi Frog VLE.

Tambahan lagi, kepentingan VLE ini menurut Cavanaugh et.al. (2004) menyatakan bahawa kebaikan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) ialah seperti fleksibel, masa pembelajaran dapat dipanjangkan, banyak peluang-peluang pendidikan dan peningkatan akses kepada sumber-sumber tertentu.​5​ Justeru, Leese (2009) berpendapat bahawa Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berpotensi untuk memperbaiki komunikasi dan menawarkan sokongan kepada pelajar.​6​

Tambahan lagi, VLE adalah keperluan menurut Noraniah et. al (2000), pembelajaran maya adalah berasaskan penggunaan Internet dan kerana istilah penggunaannya seiring dengan perkembangan Internet. Pembelajaran maya adalah satu corak memperolehi ilmu atau pendidikan menggunakan sistem pendekatan penyampaian pengajaran bagi membolehkan perubahan kekal dalam diri seseorang individu dari segi mental, pemikiran, konsep, sikap dan perlakuan melalui pengalaman yang tertentu yang diuruskan melalui suatu sistem atas talian (online) yang menguruskan pembelajaran, membekalkan mekanisme penghantaran pengetahuan/maklumat, pemantauan prestasi pelajar, penilaian dan capaian kepada sumber pengajaran dan pembelajaran yang segera.​7​

Malahan menurut kajian Alseweed (2013) yang berkaitan pencapaian dan sikap pelajar ke atas penggunaan pembelajaran tradisional, pembelajaran bercampur (blended learning) dan pembelajaran menggunakan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) pada peringkat Universiti. Dapatan kajian beliau menunjukkan pembelajaran bercampur dan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) memberikan ruang kepada pelajar untuk terlibat aktif. Berdasarkan kajian tersebut ia menunjukkan bahawa Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Pencapaian pelajar dapat dicapai dengan menggunakan VLE melalui pengukuran keberkesanan seorang pelajar, meningkatkan kualiti pembelajaran seseorang pelajar dan dapat dijadikan sebagai alat bantuan pembelajaran. Jelas dan ia tidak asing lagi penggunaan VLE dalam proses pembelajaran sangat penting bagi membantu meningkatkan pencapaian murid.

Keperluan Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) dalam Pengajaran dan Pembelajaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sedia maklum, negara kita akan menjalani tempoh PKP sehingga 28 hari bahkan mungkin lebih dari tempoh tersebut. Kemudiannya, wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap anak-anak yang tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama ini akan menjejaskan pelajaran anak mereka tambah-tambah lagi murid yang bakal menduduki peperiksaan utama sekolah seperti Pelaporan Penilaian Sekolah Rendah (PPSR), Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini. Kegusaran ibu bapa dilihat ada asasnya kerana waktu PKP bukannya untuk murid-murid tidur bangun semata-mata bahkan bagi sesetengah negara contohnya “negara Turki yang menjalankan pembelajaran maya sewaktu PKP” (Wan Normi Hasan, 2020).​8​

Setelah kita membincangkan kepentingan VLE dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara panjang, sekarang kita akan membincangkan tentang keperluan penggunaan VLE untuk dilaksanakan sewaktu PKP. Menurut Azwan Ahmad et. al (2005) dalam kajian mereka, menyatakan dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan meluas bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran serta dapat memberikan rangsangan kepada murid.​9​ Maka, penggunaan VLE merupakan keperluan yang sangat dititikberatkan bersesuaian dengan hasrat KPM yang menyedari perubahan teknologi maklumat dalam pendidikan untuk membawa Pengajaran dan Pemudahcaraan (PDPc) abad ke-21. Atas kelebihan ini, idea yang dikemuka oleh KPM dilihat wajar untuk dilaksanakan dengan segera dan disambut dengan baik oleh ibu bapa memandangkan ia suatu penyampaian yang efektif secara umumnya pada waktu ini.

Seterusnya, kita boleh dapati bahawa VLE suatu keperluan berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Noor Erma et al. (2014), menurutnya minat merupakan suatu perkara penting sebagai pendorong kepada murid untuk bergiat cergas dalam aktiviti pembelajaran.​10​ Noraini (2008) mengatakan bahawa pembelajaran yang berkesan wujud jika ada minat dalam kalangan pelajar dan salah satu daripada cara menimbulkan minat pelajar ialah menerusi kaedah pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang menarik. Oleh yang demikian, menurut Noor Erma et al. (2014) kaedah VLE ini sebahagian cara yang dapat menarik minit para pelajar untuk terlibat secara aktif dalam PdPc abad ke-21 ini dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian murid dalam pembelajaran sewaktu PKP ini.

Rheingold (2004) turut meneguhkan keperluan pembelajaran menggunakan kaedah VLE, menurutnya pendidikan tidak boleh lagi menoleh ke belakang memandangkan dunia teknologi begitu pantas dan pendidikan tidak boleh meminggirkan arus teknologi maklumat yang berlaku sekarang.​11​ Murid-murid tidak boleh terperangkap dalam kaedah pengajaran yang lama sedangkan mereka membesar dengan pelbagai akses aplikasi maya dan Internet di sekeliling mereka terutamanya ketika di rumah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Berdasarkan kenyataan statistik yang dikemukakan oleh Menteri Pendidikan, hampir 80 peratus murid sekolah menengah memiliki telefon pintar diikuti murid sekolah rendah yang memiliki telefon pintar sebanyak 36 peratus sahaja dan selebihnya 14 peratus bagi pemilikan peranti tablet, komputer dan komputer riba.​3​ Maka seharusnya perkara ini wajar dimanfaatkan dan kandungan penyampaian pengajaran oleh guru wajar disesuaikan mengikut keupayaan peranti masa kini yang dimilik oleh para pelajar.

Sekiranya wujud jurang antara institusi pendidikan dengan realiti murid masa kini, ia akan menimbulkan konflik dan sekarang adalah masa terbaik untuk pihak kerajaan khususnya KPM menangani jurang ini dengan alternatif lain.

Cabaran Pembelajaran Secara Maya

Untuk melaksanakan pembelajaran secara maya ini, terdapat cabaran yang perlu dihadapi untuk memastikan pembelajaran dapat berlangsung secara optimum. Antara cabaran yang perlu dihadapi secara umumnya ialah kesediaan yang belum sepenuhnya daripada tenaga pengajar, prasarana, pelaksanaan yang belum optimum sebelum ini dan akses Internet yang lebih baik meliputi kawasan bandar dan luar bandar.​12​

Sejajar dengan cabaran yang dinyatakan, secara realitinya INSAN berkecimpung secara langsung dengan golongan miskin bandar melihat masih wujud jurang ketercapaian digital berbanding dengan golongan bandar. Ini menjadikan cabaran yang utama bagi golongan ini dalam menghadapi pembelajaran maya selain taraf hidup dan keadaan sosial keluarga yang perlu mereka hadapi. Sebagai langkah penyelesaian segera KPM telah mengumumkan pelaksanaan pembelajaran secara maya melalui saluran TV kerajaan bagi menangani golongan yang tidak mempunyai akses lengkap di rumah masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan.​13​

Pun begitu, untuk masa hadapan cabaran ini mungkin boleh di tambah baik lagi melalui khidmat sosial korporat lain. Sebelum ini, sebagai contoh, kerajaan pernah memberikan laptop 1Malaysia bagi tujuan VLE. Untuk akan datang dengan kos yang terhad, keperluan begini boleh diberikan secara pinjaman untuk kemudahan pembelajaran kepada golongan yang memerlukan.

Kesimpulan

Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) secara umumnya sangat membantu dalam proses pembelajaran bahkan dalam fasa PKP ini ia bukan pilihan tetapi suatu kemestian. Tempoh PKP bukan alasan untuk murid-murid melepaskan diri dari proses pembelajaran bahkan ia harus dimanfaatkan masa terluang untuk  mengisi pembelajaran kendiri di rumah masing-masing.

Jika ia dimanfaatkan dengan baik serta pemantauan ibu bapa dilakukan semasa pembelajaran maya berlangsung, nescaya ia mampu menjadi bahan menarik minat para pelajar untuk terlibat aktif dalam ruangan maya yang kadang-kadang mereka malu untuk aktif di bilik darjah. Tempoh PKP merupakan medan yang sangat baik untuk semua pihak mempraktikkan dan menjayakan pembelajaran maya agar pembelajaran tidak diabaikan oleh murid-murid. Sekarang keperluan kepada pendidikan maya tidak lagi memerlukan kepada eksperimen atau lontaran ideal tetapi masa untuk implementasi sepenuhnya demi tuntutan kelangsungan pendidikan anak bangsa kita. Natijahnya, VLE bukan sekadar kemudahan tetapi ia merupakan landskap baru dalam dunia pendidikan untuk terus dikembangkan untuk membantu pelajar bahkan memacu meningkatkan kualiti pendidikan negara menuju ke arah pendidikan abad ke-21 seperti mana gagasan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

RUJUKAN

  1. 1.
    Kenyataan Media MKN: Perincian Perintah Kawalan Pergerakan. Jabatan Perdana Menteri. https://www.pmo.gov.my/ms/2020/03/kenyataan-media-mkn-perincian-perintah-kawalan-pergerakan/. Published March 18, 2020.
  2. 2.
    Perutusan Khas YAB Perdana Menteri. Jabatan Perdana Menteri. https://www.pmo.gov.my/2020/03/perutusan-khas-yab-perdana-menteri-25-mac-2020. Published March 25, 2020.
  3. 3.
    Kenyataan Media: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Berikutan Perlanjutan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Kementerian Pendidikan Malaysia . https://www.moe.gov.my/pemberitahuan/kenyataan-media/kenyataan-media-pelaksanaan-pengajaran-dan-pembelajaran-berikutan-perlanjutan-tempoh-perintah-kawalan-pergerakan. Published March 27, 2020.
  4. 4.
    Cheok ML, Wong SL. Frog Virtual Learning Environment for Malaysian Schools: Exploring Teachers’ Experience. In: ICT in Education in Global Context. Springer Singapore; 2016:201-209. doi:10.1007/978-981-10-0373-8_10
  5. 5.
    Cavanaugh C, Gillan KJ, Kromrey J, Hess M, Blomeyer R. The Effects of Distance Education on K-12 Student Outcomes: A Meta-Analysis. Learning Point Associates; 2004:39. https://eric.ed.gov/?id=ED489533.
  6. 6.
    Leese M. Out of class-out of mind? The use of a virtual learning environment to encourage student engagement in out of class activities. British Journal of Educational Technology. January 2009:70-77. doi:10.1111/j.1467-8535.2008.00822.x
  7. 7.
    Mohaidin J. Kesedaran dan Pembelajaran Maya. In: Skudai, Johor; 2000.
  8. 8.
    Hassan WN. Covid-19 bakal ubah landskap pendidikan. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/75801/Analisis-Sinar/Covid-19-bakal-ubah-landskap-pendidikan. Published March 27, 2020.
  9. 9.
    Ahmad A, Abdullah AG, Ahmad MZ, Abd. Aziz AbdR. Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklmumat dan Komunikasi (ICT). Jurnal Penyelidikan Pendidikan. 2005;7:14-26. https://www.moe.gov.my/muat-turun/penerbitan-dan-jurnal/penyelidikan/1360-jurnal7/file.
  10. 10.
    Abu NE, Eu LK. Hubungan antara Sikap, Minat, Pengajaran Guru dan Pengaruh Rakan Sebaya Terhadap Pencapaian Matematik Tambahan Tingkatan 4. JuKu. 2014;2(1):1-10. https://juku.um.edu.my/article/view/8058.
  11. 11.
    Rheingold H. Virtual Learning Enviroment (VLE). 2004.
  12. 12.
    Kamarudin K. Cabaran Mengajar Dalam Talian Semasa PKP. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1827298. Published April 1, 2020.
  13. 13.
    Sesi pembelajaran melalui TV pendidikan mulai minggu depan. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1827976. Published April 3, 2020.

Artikel penuh juga boleh dimuat turun dalam format PDF.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *