Kapitalisme, COVID-19 dan Kemanusiaan

Rolf Hilgenfeld, dalam temu ramahnya bersama Nature menyatakan beliau kini sedang mencuba masuk ke Wuhan, China untuk menguji dua sampel campurannya (compounds)—untuk dijadikan antivirus—ke atas haiwan yang dikenakan dengan coronavirus yang terbaru, SARS-CoV2.​1​ Rolf sebagai seorang ahli biologi telah membangunkan usaha untuk mencipta vaksin bagi coronavirus bukan baru-baru ini sahaja, malah ia telah diusahakan sejak 2002 lagi iaitu sejak meletusnya SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) dahulu.

Rolf ketika ditanya tentang berapa lamakah masa akan diambil untuk menghabiskan ujian klinikal terhadap ramuan yang dibangunkannya dan adakah antivirus ini berkesan untuk menghalang COVID-19 telah memberi respons yang agak mengusik minda kita semua.

“The problem with these antiviral compounds is that when you have the compound ready there are no patients. The new coronavirus outbreak will probably be over in six months, like the SARS one was. After six months, we could have data that show one of our compounds works against the new virus, and would be able to collaborate on developing it as a drug. But if by then the outbreak is over, there will be no patients, so how can you do clinical trials?

“And the total number of people infected, if you combine SARS, MERS and this new virus, is under 12,500 people. That’s not a market. The number of cases is too small. Pharmaceutical companies are not interested.

Sebenarnya ada nada kesal pada jawapan Rolf. Walaupun ramuan yang diciptanya menepati dengan data selepas enam bulan virus SARS melanda, namun tiada syarikat farmaseutikal yang berani ke hadapan untuk mengambil risiko bagi menghasilkan vaksin dari campuran tersebut untuk kegunaan manusia.

Kalau kita fahami maksud yang sebaliknya, seandainya ramuan ini berjaya menghasilkan vaksin pada ketika tersebut, kita sudah ada persediaan antivirus untuk menghadapi virus terbaru ini yang juga datang dari keluarga virus yang sama.

Namun malangnya, virus terbaru ini terlebih dahulu memakan ribuan nyawa manusia sebelum antivirus dapat dihasilkan.

Keengganan syarikat-syarikat farmaseutikal untuk menghasilkan antivirus adalah kerana ada risiko yang perlu mereka hadapi. Risikonya bukanlah sehingga membahayakan nyawa para pekerjanya, tetapi cukup untuk membahayakan kantung-kantung poket pemodal.

Tiada pemodal yang ingin melabur dalam perniagaan ini kerana selepas enam bulan dunia telah pun pulih dari SARS. Dalam masa yang sama, data yang diperlukan untuk mengabsahkan ramuan antivirus tersebut juga mengambil masa sehingga enam bulan untuk memastikan ia selamat untuk digunakan kepada manusia.

Dalam erti kata yang lain, antivirus ini hanya akan dapat dihasilkan selepas daripada tamatnya krisis. Dengan jangkaan 12,500 sahaja yang terkesan dengan virus sebelum ini, pemodal manakah yang ingin mengambil risiko melabur dalam perniagaan yang tidak menguntungkan ini?

Mudahnya, ini adalah atur hidup sistem kapitalisme.

Apa Kapitalisme?

Ekonomi pra-kapitalisme, pembuatan dan perdagangan yang berlaku adalah untuk manfaat dan kegunaan sendiri sahaja. Namun sistem seperti ini telah mengalami perubahan apabila pengeluaran dan perdagangan tidak lagi berlaku untuk diri sendiri sahaja tetapi juga untuk orang lain. Bunyinya seperti lebih baik bukan?

Kapitalis akan mengupah pekerja untuk menghasilkan barangan yang dikehendaki dengan tukaran gaji sebagai upahnya. Tujuan penghasilan barangan ini adalah untuk dipasarkan dan mendapat keuntungan dari penghasilan barangan tersebut. Keuntungan ini tidak dibahagikan bersama dengan mereka yang terlibat dalam penghasilan barangan tersebut seperti kumpulan pekerja, tetapi ia adalah milik pemodal yang membiayai usaha pengeluaran tersebut. Di sini, para pekerja hanyalah bahan komoditi untuk mempergunakan tenaga buruh mereka sahaja.

Bagi memastikan keuntungan dapat dioptimumkan oleh pihak pemodal, prinsip asasnya kos penghasilan barang mestilah dikurangkan termasuk juga upah para pekerja yang terlibat dalam penghasilan barangan tersebut. Apatah lagi dengan wujudnya persaingan, nilai barangan yang lebih kompetitif akan menjadikan pengurusan perusahaan perlu lebih rasional dan efisien termasuklah memperkenalkan penggunaan mesin dan teknologi yang lebih canggih antaranya bagi menggantikan tenaga buruh yang ramai, dengan itu kos upah dapat dikurangkan.

Secara asasnya, kapitalisme adalah sebuah sistem dan idea yang berorientasikan kepada laba dan keuntungan.

Dampak yang Berterusan

Jika kita memahami sifat kapitalisme ini, maka kita boleh faham mengapa syarikat-syarikat farmaseutikal tersebut menolak untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah SARS-CoV seperti gesaan pakar-pakar biologi. Hal ini kerana mereka tidak dapat mengaut keuntungan pada pasaran yang telah tiada. Sekiranya ada permintaan, baharulah akan berlakunya pengeluaran (supply and demand) namun jika wabak telah berakhir, pihak manakah yang akan mencipta permintaan terhadap antivirus tersebut?

Natijahnya apabila meletusnya serangan wabak seterusnya yang datang daripada keluarga virus yang sama, kita terpaksa menanggung akibatnya tanpa sebarang persediaan.

Dampaknya tidak hanya berhenti di situ.

Nyawa yang diragut bukan sahaja melalui virus yang hinggap dalam tubuh badan kita tetapi daripada ekonomi yang telah lumpuh. Kuncitara (lockdown) yang dikuatkuasakan telah menyebabkan sebahagian besar industri terpaksa memberhentikan operasinya. Kesannya, jutaan pekerja hilang punca pendapatan. Mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal lebih parah keadaannya. Akhirnya mereka juga akan mati, bukan kerana virus, tetapi kerana hilang kemampuan membeli sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarga.

Di Amerika Syarikat, hampir 3.2 juta orang telah hilang pekerjaan dalam tempoh 2 minggu meletusnya wabak COVID-19. Di Malaysia, sudah ada ramalan paling kurang 2.4 juta orang akan hilang pekerjaan selepas berakhirnya wabak ini. Ini adalah krisis yang dahsyat terpaksa kita lalui.

Dalam dunia kapitalis, status gaji dan jenis kerja adalah cerminan kepada identiti individu dalam sesebuah masyarakat. Kehilangan kerja dan hilangnya gaji bermakna status dan maruah mereka telah hilang dalam masyarakat. Tapi kalau kita tidak mempedulikan tentang status dan maruah daripada lensa kapitalisme, apa yang lebih realiti ialah mereka telah hilang sumber pendapatan untuk kemandirian kehidupan mereka. Realiti ini kita tak akan dapat faham dan rasa tanpa lensa manusiawi yang perlu ada dalam hati nurani kita.

Kita tidak memimpikan untuk sistem dunia ini berubah menjadi sosialisme mahupun komunisme dengan cara yang terburu-buru dan mengambil mudah sebegitu, namun yang kita perlukan adalah sebuah iltizam untuk mengangkat nilai kemanusiaan lebih dari keuntungan wang ringgit semata. Seandainya ada semak dan imbang yang lebih baik terhadap sistem yang kita anuti sekarang, iltizam politik yang bijaksana dari para pemerintah juga penggubal polisi dan rasa sedar rakyat terhadap permasalahan struktural yang mereka hadapi, maka hal ini tidak memustahilkan untuk kita memiliki kehidupan yang lebih baik daripada hari ini di masa akan datang.

Rujukan
  1. 1.
    Cyranoski D. This scientist hopes to test coronavirus drugs on animals in locked-down Wuhan. Nature. January 2020:607-607. doi:10.1038/d41586-020-00190-6

Tulisan ini telah disiarkan pertama kalinya oleh Malaysiakini, bertarikh 27 Mac 2020. Ianya diulangsiar dengan sedikit suntingan dari artikel asal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *