fbpx
Categories
Opinion

#Undi18 dan Cabaran Mengimbangi Wacana Post-Truth

16 Julai 2019 merupakan hari bersejarah dalam perjalanan politik tanah air apabila Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur mengundi diturunkan dari umur 21 tahun ke 18 tahun diluluskan secara sebulat suara pada sesi bacaan kedua di dalam sidang Dewan Rakyat. Dalam undian yang dijalankan, usul tersebut disokong oleh kesemua wakil rakyat yang hadir termasuk daripada blok pembangkang dan tiada seorang wakil rakyat pun yang berkecuali. Pindaan yang berlaku semalam merupakan pindaan perlembagaan yang pertama dalam era Pakatan Harapan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dahulu.

Kredit harus kita berikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq sebagai individu yang bertanggungjawab untuk membawa usul ini ke Dewan Rakyat. Kesungguhan beliau khususnya dengan sikap bipartisan yang ditunjukkan merupakan sebuah model politik orang muda dan model politik masa hadapan. Perbincangan dan penilaian yang dibuat bukan lagi berlegar di sekitar parti politk dan mana-mana sosok pemimpin lagi namun seharusnya tertumpu kepada isu ataupun polisi yang hendak dijalankan samada ianya akan memberikan kebaikan kepada negara dan rakyat ataupun tidak.

Walaubagaimanapun, mungkin ada yang beranggapan termasuk penulis bahawa keputusan untuk pindaan RUU kali ini masih diputuskan oleh kelompok elit-elit politik termasuk cadangan untuk menjalankan pendaftaran mengundi secara automatik dan menurunkan umur untuk bertanding sebagai calon pilihan raya kepada umur 18 tahun. Namun, mungkin atas faktor “political will” yang membuak-buak untuk mengangkat maruah dan martabat orang muda membuatkan pindaan RUU ini perlu dilaksanakan segera memandangkan hanya negara kita dan negara Singapura sahaja yang masih belum menurunkan umur mengundi berbanding negara-negara rantau Asia Tenggara yang lain.

Pertembungan Idea #Undi18

Perbincangan berkaitan Undi 18 yang berlaku baik di ruang maya dan ruang nyata menunjukkan pertembungan idea yang sihat di antara pihak yang bersetuju dan pihak yang tidak bersetuju. Kedua-dua pihak tampil dengan hujah yang didasarkan kepada pengalaman sosial masing-masing berinteraksi dengan kelompok anak muda berumur sekitar 18 tahun yang merupakan kelompok yang menerima kesan langsung daripada pindaan RUU ini. Persoalan utama yang berlegar dalam perbincangan tersebut adalah persoalan tahap kematangan golongan anak muda tersebut untuk terlibat dengan politik lebih-lebih lagi sebagai pengundi.

Walaubagaimanapun, kita perlu sedar bahawa dalam aspek-aspek perundangan yang lain, had umur 18 tahun adalah dianggap sebagai umur dewasa di mana mereka sudah dibenarkan memiliki lesen memandu, lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai pasukan keselamatan, tentera atau polis, menandatangani apa-apa kontrak dan perjanjian serta dianggap dewasa untuk berkahwin. Dalam masa yang sama, mana-mana warganegara berumur 18 tahun yang terbabit dalam kesalahan dan perbicaraan di mahkamah, dianggap sebagai dewasa dan dibicara dan jika disabit, menerima hukuman sebagai rakyat dewasa yang bertanggungjawab atas kesalahannya.

Secara hematnya, penulis mengambil pendirian bersetuju dengan pindaan RUU kali ini atas faktor kepercayaan dan keyakinan kepada kemampuan orang muda untuk terlibat memikirkan dan mengambil bahagian dalam wacana-wacana politik dan kenegaraan. Namun, berkaitan persoalan yang dibangkitkan di atas iaitu tentang tahap kematangan kelompok anak muda ini, penulis beranggapan persoalan ini adalah sifatnya agak subjektif yang tidak sepatutnya dilakukan generalisasi atau pukul rata kepada keseluruhan kelompok ini.

Hal ini pada sesetengah keadaan tidak wajar untuk diasosiasikan dengan persoalan umur kerana kemungkinan wujud daripada kelompok ini individu yang sudah matang dan kemungkinan juga wujud dalam kelompok yang lebih berusia individu yang masih belum matang. Keadaannya boleh diandaikan sama dengan sebuah fenomena sosial yang ingin dibangkitkan dalam tulisan ini iaitu fenomena post-truth. Fenomena ini tidak mengenal usia dan ianya boleh berlaku samada dalam kelompok orang muda atau yang telah berusia. Namun, pindaan RUU ini sebagai sebuah polisi untuk orang muda merupakan sebuah titik mula kepada beberapa sub-polisi atau program susulan khususnya reformasi institusi di peringkat sekolah rendah dan menengah yang sepatutnya mengubah tahap kesedaran, kematangan dan kebertanggungjawaban mereka apabila menjelang umur 18 tahun nanti.

Fenomena Post-Truth

Post-truth secara mudahnya adalah kebohongan atau kepalsuan. Ia merupakan sebuah iklim politik yang didominasi oleh emosi dan mengalahkan nilai-nilai objektiviti dan rasionaliti dalam sesuatu perbahasan sehingga orang cenderung untuk menolak fakta dan data. Menurut Oxford English Dictionary (2016), post-truth adalah suatu situasi di mana fakta objektif tidak dilihat sebagai suatu hal yang penting berbanding emosi dan kepercayaan peribadi dalam membentuk pandangan awam masyarakat. Maka, natijahnya masyarakat itu akan dipisah-pisahkan mengikut fahaman dan pandangan alam masing-masing sehingga mereka hanya boleh menerima sesuatu informasi atau pandangan sesuai dengan pandangan alam yang dipercayainya sahaja, terus yang berbeza dengan mereka dianggap salah. Hal ini dilihat seakan-akan mengeruhkan lagi perbedaan jika tidak diurus dengan baik kerana apa yang penting dalam wacana post-truth adalah membangkitkan dan menggerakkan emosi lantas dikhuatiri akan menimbulkan konflik, ketegangan dan permusuhan dalam masyarakat.

Jika dahulu, kita selalu dengar naratif yang mengatakan politik itu kotor—penuh dengan penipuan, manipulasi dan penyelewengan. Lantas, apa yang membezakan keadaan tersebut pada era post-truth kini?

Pada pandangan penulis, antara elemen atau jentera utama pada era ini yang mengoperasikan wacana post-truth secara lebih intensif adalah kewujudan dan perkembangan media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan lain-lain. Walaupun sebenarnya, ada sisi-sisi positif yang wujud dalam zaman teknologi dan post truth iaitu tiada lagi hegemoni pemerintah terhadap media yang berfungsi untuk mengawal naratif dan membentuk pandangan awam.

Masyarakat kini sudah diberi akses yang bebas dan terbuka kepada media khususnya media sosial untuk mendapatkan maklumat yang pelbagai serta dalam masa yang sama boleh meluahkan pengalaman dan pandangan masing-masing dalam banyak perkara. Namun, permasalahannya adalah sebagaimana yang dibincangkan di atas tadi, jika seseorang atau sesebuah kelompok tidak suka dengan sesetengah kelompok yang lain atau mana-mana elit politik maka digunakan sebaik mungkin segala ruang untuk menyebarkan kebohongan dan kepalsuan yang didasarkan atas dominasi emosi, bukan lagi rasional.

Hal ini merupakan suatu yang bahaya dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Akar Kemunculan Post-Truth

Akar kemunculan post-truth boleh wujud disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah karakter manusia itu sendiri yang dibentuk dalam sebuah acuan yang tidak boleh hidup dalam suasana kepelbagaian. Mereka hanya cenderung untuk menerima dan membenarkan segala hal yang dianggap sesuai dengan pandangan alamnya sahaja. Hal ini menyebabkan pertimbangan yang dibuat pada kebanyakan waktu adalah berdasarkan kepentingan emosi peribadi atau kelompok. Sepatutnya yang dibuat adalah keputusan untuk menerima atau menolak sesebuah pandangan, teori atau naratif mesti didasarkan kepada penilaian yang objektif dan rasional walaupun ianya datang daripada pihak yang berlawanan.

Kedua adalah karakter manusia yang mempunyai pemikiran komoditi—mencari-cari jalan yang menguntungkan sehingga sanggup menjadikan sesuatu perkara sebagai barang dagang, asalkan dapat untung samada dari segi kewangan, nama, status mahupun jawatan. Hal ini boleh berlaku dalam segenap aspek dalam kehidupan termasuk aspek agama, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Ketiga juga masih berkisar tentang karakter masyarakat yang disebut pada zaman kini sebagai masyarakat “viral”—yang sukakan sesuatu yang dianggap mempunyai elemen “wow” dan “trending”. Faktor mengapa sesuatu berita atau khabar angin disebarluas, adalah disebabkan ramai orang yang turut menyebarkannya, maka diri sendiri pun turut merasa keharusan untuk menyebarkannya tanpa mengambil kira samada berita itu benar atau tidak, ada faktanya ataupun tidak.

Keempat adalah lembaga-lembaga media massa berkiblatkan keuntungan (kapitalisme). Kebiasaannya, yang mendokong post-truth adalah media-media massa. Jika orientasi lembaga media massa tersebut adalah sebagaimana yang disebutkan di atas tadi maka mereka akan memaparkan mana-mana berita atau isu yang menurut pertimbangan mereka dicari oleh ramai orang dan boleh membawa keuntungan kepada mereka. Logik mereka adalah untung—selagi boleh mendatangkan duit, meraih follower, mengembangkan lagi engagement, bukan lagi pada nilai kebenaran berita tersebut lagi.

Kelima adalah budaya populis yang dipraktiskan khususnya dalam lapangan politik sebagai strategi untuk mendapatkan sokongan. Pada hari ini, hampir keseluruhan parti politik bergantung harap pada retorik-retorik politik yang mampu membangkitkan emosi supaya masyarakat awam bersama dan menyokongnya. Retorika-retorika politik seperti slogan “demi rakyat”, “perpaduan ummah” dan “demi melayu” bukanlah sesuatu yang sepenuhnya salah namun sebagai masyarakat yang bertamadun seharusnya membuat penilaian dan pengimbangan dahulu terhadap elemen retorika dan logika yang berasaskan kepada fakta dan kebenaran bukan sebaliknya.

Cabaran Mengimbangi Wacana Post-truth

Di bahagian atas tulisan ini, penulis ada menyebutkan bahawa pindaan RUU ini boleh diandaikan sebagai sebuah titik mula kepada beberapa sub-polisi atau program susulan. Apapun bentuk atau jenama yang mahu diberikan itu terpulang kepada kekreatifan pihak masing-masing untuk merangka dan mengoperasikannya, namun penulis ingin mencadangkan dua perkara yang mesti dijadikan pengisian utama.

Pertama adalah kita perlu untuk melahirkan masyarakat dan rakyat yang kritis. Penekanan yang harus diberikan dalam program ini adalah sebelum sesebuah keputusan atau kesimpulan itu perlu dibuat, seseorang semestinya menilai dahulu fakta dan datanya (kebenarannya) dan analisis proses sebab-akibatnya (implikasinya) dan akhirnya melahirkan sesebuah interpretasi atau kesimpulan terhadap sesuatu isu atau berita.

Subjek mata pelajaran atau perbincangan yang menyentuh elemen literasi media harus difokuskan bermula daripada peringkat sekolah lagi. Mereka mesti dididik tentang bagaimana untuk membaca dan membuat penilaian terhadap sesuatu berita atau isu yang ditonjolkan. Persoalan seperti siapa yang mencipta dan menyebarkan berita, apa motif yang ingin disampaikan, mengapa motif tersebut dilontarkan kepada khalayak umum, adakah ianya penting atau tidak untuk individu, masyarakat atau negara dan banyak lagi soalan-soalan lain. Mungkin penulis boleh mencadangkan salah satu tugasannya adalah penilaian secara kritis terhadap isu video yang dikaitkan dengan salah seorang menteri kabinet memandangkan itu antara isu yang sensasi ketika ini, dalam menilai bagaimana tahap kekritisan kelompok anak muda bawah usia 18 dalam menanggapi isu-isu politik sebegini.

Kedua, kita perlu mewujudkan sebuah masyarakat yang terbuka yang boleh menerima dan hidup dalam kepelbagaian lebih-lebih lagi di negara kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Untuk mencapai tujuan ini, fokus mesti diberikan kepada pendidikan sejarah yang inklusif—yang menghargai setiap jasa dan pengorbanan setiap kelompok masyarakat secara adil. Hal ini yang menarik perhatian penulis tentang kepentingan sejarah itu sebagai suatu bahagian fungsinya untuk bagaimana kita menjadi orang Malaysia dan memahami segala bentuk alasan yang ada dalam sejarah tentang bagaimana negara ini menjadi Malaysia sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Ini asasnya untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang terbuka dan mahu mengorak langkah ke hadapan.

Kedua-dua karakter masyarakat di atas mesti bergerak seiring dalam maksud kedua-dua karakter itu mesti dibentuk dalam setiap peribadi warga Malaysia lebih-lebih lagi anak-anak muda yang bakal menjadi pengundi apabila mencapai usia 18 tahun nanti. Harapan kita agar mereka berupaya untuk menjadi sebuah masyarakat yang mandiri dan berdaya tahan terhadap pelbagai cabaran dunia termasuk cabaran daripada “peradaban” post-truth ini.

Penulis menyedari ramai dalam kalangan rakan-rakan khususnya aktivis sosial sangat gembira dan begitu positif dengan pindaan RUU kali ini. Tulisan ini juga muncul untuk menzahirkan perasaan yang serupa namun dalam masa yang sama mahu membangkitkan persoalan cabaran wacana post-truth dan banyak lagi cabaran lain yang harus digalas oleh pelbagai pihak untuk menjayakan agenda pengukuhan demokrasi di negara kita.

By Ahmad Afif

Ahmad Afif is a co-founder and the Director of Outreach and Strategy at Initiative for Malaysian Humanitarian. Currently, he is pursuing doctoral studies in politics and geography at Universiti Kebangsaan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.